Sunday 29 July 2012

Tatkala azan berkumandang....

Assalamualaikum wbkt....
Alhamdulillah, dah sembilan hari kita berpuasa. Semoga puasa kita mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT. Amin. Ok, rasanya kali ni saya nak bercerita tentang perihal trend berbuka puasa di hotel. Apabila menjelang Ramadhan, sering kali hotel menjadi pilihan tempat berbuka puasa terutamanya di bandar-bandar besar. Ada tu, sebelum puasa lagi hotel berlumba-lumba mempromosikan pakej berbuka puasa dengan menawarkan harga yang kononnya amat berpatutan. Tak tahulah saya berpatutan atau tidak. Mungkinlah, dengan kos yang semakin meningkat, pengusaha hotel meletakkan harga yang mahal.
Hari Jumaat lalu, saya berkesempatan berbuka puasa di hotel yang berada di tengah-tengah bandar raya metropolitan ini. Itupun sebab saya menyertai bengkel kerja selama dua hari. Pada mulanya, bila memikirkan suami terpaksa berbuka puasa sendirian bersama-sama anak di rumah, saya menolak untuk menginap di hotel dan mahu berulang-alik ke rumah sebab jarak taklah jauh sangat. Tapi, salah seorang rakan yang berbengkel itu terpaksa balik sebab ibunya yang kurang sihat, maka kupon berbuka puasa diberikan kepada saya. Jadi, suami dan anak pun ikutlah serta.
Ketika azan berkumandang, saya dan suami berbuka puasa di dalam bilik. Hanya minum air je. Sebab pada saya mungkin orang ramai bersesak-sesak di dewan makan berkenaan. Jadi, saya dan suami solat Maghrib di bilik dulu. Kebetulannya pula, saya selesema sebab bilik bengkel sejuk sangat dan hidung mula buat hal, tersumbat. Lebih kurang pukul 8.00 malam baru saya, suami dan anak turun ke dewan makan. Meja makan bertanda disediakan, berbagai-bagai menu disediakan dan ternampak kelibat seorang artis lelaki rupanya duta Ramadhan untuk hotel berkenaan. Tidaklah popular sangat pun dan saya tak teruja nak ambil gambar. Eemm... suasana agak bising dengan nyanyian oleh penyanyi wanita yang saya tak kenal, rasanya penyanyi kelab kot. Suasana itu dengan iringan muzik membuatkan saya dan suami kurang senang. Memikirkan waktu itu waktu Maghrib dan dalam bulan Ramadhan! Ada pulak diselitkan dengan nyanyian, walaupun lagu yang didendangkan itu berentak perlahan, tapi bagi saya tetap tidak menghormati waktu Maghrib dan Ramadhan. Dan, saya melihat ada penonton yang tidak berganjak dari tempat duduk. Tak solat Maghrib ke? Ada tu, perempuan, siap merokok lagi! Dengan rasa tak malu, seolah-olah berbangga dengan rokok yang terselit di celah jari. Aduhai... kenapa la umat Islam sekarang sangat jauh dari agama... Dalam hati saya, dahlah bulan puasa, seorang wanita hisap rokok, dengan penyanyi yang melalak di atas pentas, pakaian yang agak jarang dan seksi... sedih kan? saya melihat hampir pukul 8.45 malam, terus nyanyi... sedangkan ketika itu azan Isyak berkumandang... Ya Allah, saya rasa macam cepat-cepat nak keluar dari situ. Penyanyi lelaki pula menjemput penonton, kononnya yang dirai. Dan berbondong-bondong naik ke pentas... saya terkejut sebab mereka itu semunya wanita bertudung, tak hormat langsung waktu azan... lebih kurang pukul 9.00 malam, dan selesai makan serba sedikit, suami mengajak saya dan anak keluar. Memang tak selesa langsung! Rasa macam berdosanya saya...
Kenapa pihak hotel tidak prihatin hal-hal sensitif seperti ini? Kenapa mesti ada nyanyian? Kan elok kalau pihak hotel menjemput penceramah agama dan selitkan dengan tazkirah Ramadhan? Sekurang-kurangnya lain daripada yang lain... Itu baru satu hotel, belum lagi yang lain-lain bertaraf empat, lima atau berbintang-bintang! Nauzubillah... semoga kita dijauhkan perkara-perkara seperti ini dan semoga Allah SWT memelihara iman kita..

Thursday 26 July 2012

Ungkapan... "sahabat terbaik"....

Assalamualaikum wbkt...

Kali ini saya ingin berkongsi rasa gembira tatkala di laman FB saya terbaca komen seorang kawan lama yang berbelas tahun dahulu bersama-sama berhempas pulas dan bersengkang mata untuk memperoleh segulung ijazah. Komennya itu membuatkan saya terharu sebab sebelum ini tidak ada seorang kawan pun yang menganggap saya sebagai kawan karib, kawan sejati, kawan terbaik atau apa sahaja istilah yang seangkatan dengannya. Rasa terharu dan sangat menghargainya. Bagi saya, istilah rakan karib itu sangat mendalam maknanya. Apa sebenarnya ciri-ciri 'sahabat atau kawan karib'? Mungkin terlalu luas pengertiannya. Pada pandangan peribadi, kawan karib itu ialah kawan yang paling rapat dengan kita, sentiasa berkongsi apa sahaja cerita peribadi, rahsia atau tidak, selalu mengambil berat, bertanya khabar, sewaktu senang dan susah diharungi bersama-sama, tiada istilah 'kawan makan kawan', dan sesetengahnya pula dianggap sebahagian daripada ahli keluarga. Apa pula pendapat pembaca?

Ihsan : Google

Kita akan berkawan dengan sesiapa sahaja, walau di mana kita pergi pasti akan ada kawan... tambahan pula saya ni suka beramah mesra dan mudah untuk berkawan. Siapa kawan karib saya? Eemm... susah juga mencari jawapan... mungkin saya tak perasan agaknya... Saya mengaku yang saya bukanlah seorang kawan karib kepada kawan yang lain. Saya langsung tidak mempunyai ciri-ciri seorang kawan baik. Bukanlah bermaksud saya 'kawan makan kawan'... tapi sebab saya rasa saya tak layak langsung untuk menjadi 'kawan baik'. Sebab apa? Banyak sebabnya... Pertama, saya bukan selalu bertanya khabar kawan yang lain, namun, ingatan tu tetap ada. Kedua, bukan selalu berkongsi cerita rahsia, apatah lagi hal-hal peribadi. Saya takut juga dicap sebagai 'busy body'... Ketiga, mungkin saya jarang menghargai kawan, sebagai contoh ketika hari lahir atau ulang tahun perkahwinan, saya jarang ingat. Jangankan nak bagi hadiah, tarikh istimewa pun tak ingat! Keempat, saya hanya kenal ahli keluarganya biasa-biasa, ada tu kenal hanya mak dan ayah je... adik beradik yang lain langsung tak kenal. Saya rasa ada orang lain yang kenal seluruh ahli keluarga kawannya. Wahhh... hebat kan? Itu memang kawan baik. Kelima, kadang-kadang saya anggap orang lain sebagai kawan baik, tapi ntah-ntah dia pun tak anggap kita kawan baik dia.. (syok sendiri la tu...heheheh)...  Keenam, saya bukanlah orang berada yang banyak fulusnya, dan saya tidak dapat membantu pun jika kawan saya ada masalah kewangan. Saya rasakan itupun penting sebab kawan baik akan dapat membantu kawannya jika dalam kesusahan! Betul tak? Tak nafikan yang saya ramai kawan.. Di pejabatlah saya rasa ramai kawan.. tempat kita mengadu masalah, bila keliru kita akan luahkan kepada kawan yang hampir dengan kita. Tapi, bagi saya, bukan semua.. mungkin seorang dua sahaja.
Teman yang menganggap saya kawan terbaiknya itu sebenarnya memang seorang yang pendiam. Secara peribadinya, saya hanya kenal dia semasa tiga tahun di kampus, 14 tahun yang lalu. Kami jarang bertegur sapa, hanya membalas-balas senyuman sahaja. Tapi, Allah SWT itu Maha Kaya... mempertemukan kami semula setelah tiga tahun terpisah selepas konvokesyen pada tahun 2000. Pada 2003 kami bertemu dan menjadi rakan seperjuangan di sebuah organisasi yang sangat gah! Sejak pertemuan itu, kami menjadi rapat dan saling bertukar pandangan. Banyak cerita sedih, suka duka yang kami kongsikan bersama-sama. Dan, terus terang saya katakan sebenarnya kisah sedih dirinya membuatkan kami rapat. Kini, walaupun jarak memisahkan kami, dia tetap ingin berkongsi cerita-ceritanya dengan saya. Bukanlah menganggap diri saya ini seperti kaunselor bertauliah... sedikit pun tidak. Tapi, sebagai kawan apatah lagi di saat-saat kedukaannya dan kesakitannya, saya rasakan satu tanggungjawab untuk membuatkan dirinya tidak lagi sedih dan menganggap semua yang berlaku adalah ketetapan dari-Nya. Saya sangat percaya, kawan saya itu memang seorang yang sangat tabah dan kuat semangat! Semoga, Allah SWT merahmatinya... Amin. Dan, sebagai kawan terbaiknya, saya akan cuba sedaya upaya untuk menjadi yang terbaik buat dirinya. Insya-Allah...
Saya sangat menghargai kawan-kawan walau di mana mereka berada... kawan semasa kecil, waktu remaja, kawan sekolah, kawan di universiti dan kawan di pejabat dan semua yang mengenali saya... Saya amat menghargai kalian dan setitip doa untuk mereka, Insya-Allah akan saya panjatkan kepada Yang Maha Esa... Terima kasih juga kepada FB, tanpanya saya tidak akan berjumpa semula dengan kawan-kawan lama!


Saturday 21 July 2012

Hakim Belajar Puasa

Assalamualaikum wbkt...

Alhamdulillah, selamat sudah kita berpuasa untuk hari pertama ini. Saya nak berkongsi satu cerita pengalaman pertama Hakim berpuasa. Maklumlah dia baru berumur 5 tahun. Saya teruja bila sehari sebelum puasa, dia cakap, Teacher suruh puasa kat rumah. Ok la, saya bercerita pada dia apa itu puasa dan ganjaran pahala yang kita dapat bila berpuasa. Antaranya:
1. Allah dan Nabi Muhammad sayang kat kita.
2. Kita dapat pahala. Dia tanya balik, pahala tu apa? Saya jawab, hadiah yang akan Allah bagi pada kita.
3. Dapat raya dan pakai baju Melayu yang baru beli.
4. Kita dapat masuk syurga. Dia jawab, dalam syurga ada mainan tak? Aduii... nak tergelak. Saya jawab, dalam syurga, semua mainan ada... Ben 10, Transformers, Spiderman, Angry Birds, lumba kereta dan banyak lagi... semuanya ada! Dan nampak reaksi dia, sangat teruja!
5. Mami akan belikan basikal. Siap pesan lagi, dia tak nak basikal budak-budak. Nak yang besar. Layan je...
6. Nanti dalam syurga dapat jumpa dengan Tok Ma, Tok Abah, Tok Chek... :(


Itulah antara bual bicara saya dengan Hakim sebelum tidur. Jadi, dia pun setujulah nak puasa. Lagipun Teacher kat sekolah memang dah maklumkan yang mereka akan berlatih berpuasa mengikut umur. Pelajar umur 4 tahun, akan puasa selama 1 - 2 jam sehari, umur 5 tahun 2 - 4 jam dan seterusnya pelajar yang 'besar' sikit, akan lamalah tempoh puasanya.
Sebelum tidur, dah diajarkan niat puasa dan saya akan kejutkan dia untuk sahur pula. Tapi, bila tiba masanya, tak bangun pun... sebab mengantuk sangat agaknya, main game sampai lewat malam. Pagi esoknya, pukul 9.00 pagi baru bangun. Tapi, alhamdulillah dia tak minta buatkan susu seperti biasa. Agaknya dia ingat kot yang dia puasa. Saya dan suami tunggu juga takut-takut dia lapar. Dan lebih kurang pukul 12.15 tengah hari, dia cakap lapar... Saya cakap, Hakim kan puasa, malam baru boleh makan.. Tapi, dia merengek juga nak makan. Diambilnya dua biji kurma dan saya buatkan milo untuk dia. Tapi, bagi saya Hakim dapat puasa setengah hari pun alhamdulillah... sekurang-kurangnya dia tahu apa itu puasa... dan insya-Allah saya dan suami akan cuba melatihnya berpuasa penuh... Semoga Allah SWT permudahkan dan membantu kami sekeluarga... Amin.

Alahai anak bujang...

Friday 20 July 2012

Perginya Menjelang Ramadhan

Esok, umat Islam akan mula berpuasa. Hati gembira dan berdoa semoga Ramadhan ini akan membawa seribu rahmat buat kita, umat Muhammad SAW. Namun, pagi ini mendengar perkhabaran sedih, seorang ibu tunggal "Kak Leha" penjual pisang goreng pergi meninggalkan anak-anak seramai 9 orang.... hati saya sedih dan pilu apabila mengenangkan nasib anak-anak tersebut. Dikhabarkan juga, bapa mereka telah lama berpisah setelah mengahwini wanita lain. Nafkah terabai dan anak-anak membesar tanpa kasih sayang seorang ayah. Namun, ibu tunggal itu tabah dan kuatkan semangatnya demi membesarkan anak-anaknya yang masih bersekolah..., dan rutin hariannya menjual pisang goreng di kawasan perumahan teman saya itu. Tetapi, Allah SWT lebih menyayanginya, dijemput Ilahi (akibat kemalangan jalan raya) tatkala umat Islam sibuk membuat persiapan Ramadhan dan bakal menjelangnya Syawal. Begitulah ujian-Nya yang diturunkan untuk menguji sejauh mana iman seseorang khalifah kepada Khalik-Nya... 

Saya tidak mengenali arwah Kak Leha dan anak-anaknya itu. Tapi, hati seorang ibu dan hanya manusia biasa, saya rasa terpanggil untuk membantu setakat yang mampu. Rakan saya itu membuat sedikit kutipan untuk didermakan kepada anak-anaknya yang malang itu. Insya-Allah, selepas ini kami bercadang untuk memberikan sumbangan barang-barang keperluan seperti beras, milo, gula dan sebagainya. Hanya itu yang mampu... Doa saya untuk anak-anak itu, semoga Allah SWT memelihara kehidupan mereka, dunia dan akhirat...
Subhanallah, Maha Suci Allah...
Al-Fatihah untuk Kak Leha, semoga ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman di sisi-Nya.


Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: “Hendaklah setiap orang Islam itu bersedekah. Para sahabat bertanya: ‘Jika tidak mampu ya Rasulullah?’ Baginda menyatakan: ‘Maka hendaklah dia berusaha sendiri (bekerja dengan tangannya) yang dapat memberi faedah kepada dirinya dan dengan yang demikian dia dapat bersedekah.’ Mereka bertanya lagi: ‘Jika dia masih tidak sanggup (tidak mampu bekerja)? Jawab nabi: ‘Maka hendaklah dia menolong orang yang susah yang memerlukan bantuan.’ Tanya sahabat lagi: ‘Jika sekiranya dia tidak dapat berbuat demikian?’ Jawab nabi: ‘Maka hendakah dia (mengerjakan kebaikan dan) menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan, jika dia tidak dapat berbuat demikian juga, maka hendaklah dia menahan dirinya daripada melakukan kejahatan, kerana yang demikian itu adalah juga dianggap sedekah.” (Riwayat Bukhari)

Sunday 15 July 2012

Aktifkan Syurga Hati

Sebenarnya, entri kali ini saya petik sebahagiannya daripada artikel dalam Majalah Solusi Isu No. 45. Saya rasa menarik dan ingin saya kongsikan bersama-sama. Judul artikel yang ditulis oleh Ustaz Umar Muhammad Noor ialah "Ada Syurga dalam Hati". Menarik bukan? Berikut antara petikan artikel tersebut:

"Ibn Taimiyah berbincang tentang "syurga dunia", yakni sebuah taman kebahagiaan yang terdapat dalam hati. Menurut beliau, setiap daripada kita boleh memiliki syurga tersebut dan tiada apa atau siapa pun yang boleh merebutnya daripada kita kerana kebahagiaan bukan terletak pada jasad atau tubuh, tetapi tertanam dalam hati. Kebahagiaan berkait rapat dengan persepsi kita tentang kehidupan. Ia banyak dibentuk oleh cara kita melihat diri dan alam, serta hubungan kedua-duanya dengan Allah SWT. Sesiapa yang mengenal hakikat dirinya yang sangat lemah dan meyakini Allah dengan pelbagai sifat-Nya Yang Maha Sempurna, lalu berserah diri kepada aturan Ilahi, maka dia akan hidup dalam kebahagiaan"

Ihsan : Google


"... Sebenarnya, syurga dalam hati ini boleh direalisasikan dengan pelbagai cara. Salah satu caranya adalah dengan menyelaraskan kehendak kita dengan kehendak Allah SWT. Berserahlah kepada ketentuan Allah kerana kebahagiaan dan kedamaian pasti berputik dalam hati. Punca kesusahan hati adalah percanggahan kehendak kita dengan kehendak Allah. Kita menghendaki sesuatu, tetapi Allah menghendaki sesuatu yang lain. Setiap yang berlaku tentulah dengan kehendak Allah, bukannya perkara yang kita kehendaki. Ketahuilah, Allah Maha Berkuasa, manakala kita hanya hamba yang lemah dan hina...".

Benar, setiap yang berlaku ada yang tersurat dan tersirat. Kita hanya mampu merancang tapi Allah Yang Berkuasa yang menentukan. Oleh itu, yakinlah akan ketentuan Allah dan berserah diri hanya kepada-Nya. Insya-Allah, akan ada syurga dalam hati dan kebahagiaan itu akan menjadi milik kita, dengan izin dari-Nya. Amin Ya Rabb.

Kenangan Ramadhan dalam Menanti Syawal

Tak sampai seminggu lagi kita akan berpuasa. Entah mengapa setiap kali menjelang bulan Ramadhan, hati saya menjadi begitu sayu... apabila mengenangkan kenangan saat berpuasa bersama-sama keluarga tersayang sewaktu zaman sewaktu kecil dahulu. Suatu ketika dan di suatu masa.... kenangan itu takkan mungkin hilang. Akan sentiasa terpahat di dalam kotak ingatan.
Suasananya memang jauh berbeza. Semasa kecil, bersekolah rendah dan menengah, semasa menuntut di universiti, apabila dah bekerja, apatah lagi selepas berkahwin dan mempunyai anak. Di kampung dan di bandar. Suasana semasa berpuasa itu tidak akan sama... Eemm, rasanya saya tidak mahu berceloteh panjang. Biarlah ianya menjadi kenangan dan disimpan sahaja segala cerita suka duka itu. Tidak mahu mengundang rasa sebak dan syahdu lagi. Maklumlah, hati saya mudah tersentuh apabila mengenangkan itu semua, apatah lagi Mak, Abah kedua-dua datuk yang disayangi telah lama tiada, pergi mengadap Ilahi. Al-Fatihah...

Entri kali ni, bercerita tentang persiapan untuk Syawal yang akan datang... Sejak dua minggu yang lalu, suami mengajak saya membeli serba sedikit pakaian raya terutamanya untuk anakanda, Hakim. Untuk saya, telah awal-awal lagi baju kurung telah siap ditempah. Kebetulannya pula, waktu itu sibuk dengan jualan murah di gedung membeli belah. Jadi, kami mengambil kesempatan untuk itu. Tidaklah beriya-iya, sekadar ala kadar sahaja. Pada Sabtu kelmarin, kami ke PKNS, Shah Alam untuk membeli baju Melayu. Booth-booth khas untuk menjual kelengkapan pakaian raya telah pun dibuka dan memang banyak sangat pilihan. Warna dan saiz pun banyak. Alhamdulillah, orang tak ramai. Warna dan saiz baju yang sedondon pun senang nak cari. Malas nak bersesak-sesak saat-saat akhir nanti. Jadi, yang tinggalnya hanyalah kuih dan biskut raya. Tak seperti tahun lepas, tahun ini disebabkan kami akan beraya di Kelantan, saya menempah sikit je. Lagipun kebetulannya, raya tahun ni semua mak saudara akan beraya di rumah mentua masing-masing. Jadi, tak perlulah banyak sangat. Suami pun dah beri 'amaran' supaya jangan berlebihan...

Walau apapun, yang pentingnya, saya amat mengharapkan Ramadhan kali ini akan memberi sejuta makna untuk saya dan seluruh ahli keluarga. Doa sentiasa dipanjatkan agar Allah SWT menuntun hati saya, suami dan anak serta keluarga untuk lebih mendekatkan diri kepada-Nya dan mencapai keredhaan dari-Nya. Semoga dikuatkan semangat dan hati saya untuk menambah amalan ibadah pada malam hari dan Ramadhan ini juga ingin saya bertemu dengan Malam Sejuta Rahmat iaitu Malam Lailatul Qadar.. dengan izin-Nya, Ya Allah, Amin Ya Rabb... semoga Allah SWT memakbulkan doaku.

Ihsan: Google

Monday 9 July 2012

♥♥♥ Hadiah Anniversary ♥♥♥

Rasa lama tak mencoret di sini. Begitulah kalau sekejap ada, sekejap tak ada. Macam biskut la pulak ye. Eemmm... banyak yang nak dikongsikan bersama-sama, tapi rasanya ini yang best kot... hehehehh... Selalunya, hadiah apa yang kawan-kawan dapat masa hari ulang tahun perkahwinan ye? Setiap tahun dapat hadiah? Sekali-sekali atau tak pernah langsung? Atau sekadar ucapan ringkas melalui sms atau kad ucapan yang ditinggalkan oleh hubby atas meja solek? Heheheh... atau yang paling romantik, mungkin ada yang 'candle light dinner'? Jeng jeng jeng.... dan yang paling tak best, bila hubby lupa terus... ada ke? Memang geram kan kalau hubby kita lupa anniversary...


Ok, saya dan Hubby tak meraikan pun, sekadar beli kek dan makan bersama-sama Hakim di rumah. Kad atau sms pun tak ada. Cuma ucapan spontan je... tak romantik kan? Saya dan Hubby memang simple, cuma yang penting, tetap ingat. Hadiah? Oh, saya tak pernah belikan apa-apa hadiah pun untuk Hubby, oopppss... ada! Sepasang jam tangan, tapi dah lupa tahun bila... Tapi Encik Suami je yang ada hadiahkan. Itupun sebab saya yang nak! Hubby tanya, nak apa? Hahahahh... memang dia kurang arif bab-bab hadiah ni. Ada tu, dia siap bagi duit dan suruh saya beli sendiri... Dua minggu lepas, kami ke Plaza Low Yat. Kebetulan memang nak repair laptop yang 'tak sihat'. Kat situ kan lubuk bagi orang yang minat dan mengikuti perkembangan produk terkini pelbagai gadget macam telefon bimbit, ipad, camera dan segala macam lagi yang seangkatan dengannya... Yang bestnya, Hubby tanya nak beli telefon baru tak? Hah??? Betul ke Abang nak belikan handphone baru untuk Su? Waahh... tentulah nak! Terujanya saya. Bukan apa, telefon yang lama ni memang selalu buat saya geram sebab baterinya cepat habis, sekejap je dah kena cas balik... saya mengomel-ngomel depan suami. Agaknya sebab tu dia tanya tu dan belikan... Apa lagi saya meronda hampir semua kedai untuk tengok mana yang best... oh, lupa... pasal bajet berapa ye? Ok, hubby kata, bawah 1k je.... Orait.....


Pusing punya pusing, sampai penat dah kaki berjalan (maklumlah terlebih sikit berat badan, cepat letih.. hehehehhh) lastly saya pilih yang ini..... dapat harga pun ngam-ngam je... Seronoknya saya. Hubby kata, itu hadiah anniversary...

TERIMA KASIH ABANG! (dengan tersipu-sipu malu... nak cakap yang.... AISHITERU!) Macam tajuk lagu je.... hehehehh... Bukan sebab dapat handphone baru tau... Tapi memang Su sayangkan Abang... selagi ada hayat dikandung badan.... (dengan perasaan sebak, kolam mata pun mula bergenang....) 

Yahoo...boleh main Angry Bird! heheheh

Pppsstttt.... saya sedang fikirkan apa hadiah untuk Hubby pulak? Walaupun lambat, saya tetap nak bagi...

Yuuhuuuu... ciku cak!

Assalamualaikum sayang-sayang....!!!!  Apa kabor semua? Mak aaiiii... dah nak dekat setahun baru sempat menjengah rumah. Hahahahh... Mema...