Assalamualaikum wbkt....
Alhamdulillah, dah sembilan hari kita berpuasa. Semoga puasa kita mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT. Amin. Ok, rasanya kali ni saya nak bercerita tentang perihal trend berbuka puasa di hotel. Apabila menjelang Ramadhan, sering kali hotel menjadi pilihan tempat berbuka puasa terutamanya di bandar-bandar besar. Ada tu, sebelum puasa lagi hotel berlumba-lumba mempromosikan pakej berbuka puasa dengan menawarkan harga yang kononnya amat berpatutan. Tak tahulah saya berpatutan atau tidak. Mungkinlah, dengan kos yang semakin meningkat, pengusaha hotel meletakkan harga yang mahal.
Hari Jumaat lalu, saya berkesempatan berbuka puasa di hotel yang berada di tengah-tengah bandar raya metropolitan ini. Itupun sebab saya menyertai bengkel kerja selama dua hari. Pada mulanya, bila memikirkan suami terpaksa berbuka puasa sendirian bersama-sama anak di rumah, saya menolak untuk menginap di hotel dan mahu berulang-alik ke rumah sebab jarak taklah jauh sangat. Tapi, salah seorang rakan yang berbengkel itu terpaksa balik sebab ibunya yang kurang sihat, maka kupon berbuka puasa diberikan kepada saya. Jadi, suami dan anak pun ikutlah serta.
Ketika azan berkumandang, saya dan suami berbuka puasa di dalam bilik. Hanya minum air je. Sebab pada saya mungkin orang ramai bersesak-sesak di dewan makan berkenaan. Jadi, saya dan suami solat Maghrib di bilik dulu. Kebetulannya pula, saya selesema sebab bilik bengkel sejuk sangat dan hidung mula buat hal, tersumbat. Lebih kurang pukul 8.00 malam baru saya, suami dan anak turun ke dewan makan. Meja makan bertanda disediakan, berbagai-bagai menu disediakan dan ternampak kelibat seorang artis lelaki rupanya duta Ramadhan untuk hotel berkenaan. Tidaklah popular sangat pun dan saya tak teruja nak ambil gambar. Eemm... suasana agak bising dengan nyanyian oleh penyanyi wanita yang saya tak kenal, rasanya penyanyi kelab kot. Suasana itu dengan iringan muzik membuatkan saya dan suami kurang senang. Memikirkan waktu itu waktu Maghrib dan dalam bulan Ramadhan! Ada pulak diselitkan dengan nyanyian, walaupun lagu yang didendangkan itu berentak perlahan, tapi bagi saya tetap tidak menghormati waktu Maghrib dan Ramadhan. Dan, saya melihat ada penonton yang tidak berganjak dari tempat duduk. Tak solat Maghrib ke? Ada tu, perempuan, siap merokok lagi! Dengan rasa tak malu, seolah-olah berbangga dengan rokok yang terselit di celah jari. Aduhai... kenapa la umat Islam sekarang sangat jauh dari agama... Dalam hati saya, dahlah bulan puasa, seorang wanita hisap rokok, dengan penyanyi yang melalak di atas pentas, pakaian yang agak jarang dan seksi... sedih kan? saya melihat hampir pukul 8.45 malam, terus nyanyi... sedangkan ketika itu azan Isyak berkumandang... Ya Allah, saya rasa macam cepat-cepat nak keluar dari situ. Penyanyi lelaki pula menjemput penonton, kononnya yang dirai. Dan berbondong-bondong naik ke pentas... saya terkejut sebab mereka itu semunya wanita bertudung, tak hormat langsung waktu azan... lebih kurang pukul 9.00 malam, dan selesai makan serba sedikit, suami mengajak saya dan anak keluar. Memang tak selesa langsung! Rasa macam berdosanya saya...
Kenapa pihak hotel tidak prihatin hal-hal sensitif seperti ini? Kenapa mesti ada nyanyian? Kan elok kalau pihak hotel menjemput penceramah agama dan selitkan dengan tazkirah Ramadhan? Sekurang-kurangnya lain daripada yang lain... Itu baru satu hotel, belum lagi yang lain-lain bertaraf empat, lima atau berbintang-bintang! Nauzubillah... semoga kita dijauhkan perkara-perkara seperti ini dan semoga Allah SWT memelihara iman kita..