Peristiwa Isra’
Mikraj ini berlaku pada tahun ke-10 kenabian. Tahun tersebut dikenali sebagai
tahun kesedihan ekoran kewafatan bapa saudara Nabi SAW iaitu Abu Talib dan juga
kewafatan isteri baginda SAW yang kedua-duanya banyak memberikan bantuan serta
pertolongan kepada Nabi SAW dalam menyebarkan dakwah Islam dan memperjuangkan
Islam.
Tidak hanya
dengan kesedihan kewafatan 2 tonggak besar dalam perjuangan baginda SAW,
sebelum berlakunya peristiwa Isra’ Mikraj, Nabi SAW disakiti apabila baginda
SAW pergi ke Thaif untuk menyebarkan Islam dan dalam usaha mencari markas baru
di luar Mekah. Namun kedatangan baginda SAW ke Thaif disambut dengan batu yang
dilontarkan oleh penduduk Thaif.
Ekoran cabaran
yang begitu hebat diterima, satu demi satu cabaran yang menimpa baginda SAW
ditambah lagi dengan halangan yang diterima di Thaif, maka ketika perjalanan
pulang dari Thaif, Nabi SAW mengadu kepada Allah SWT dengan satu doa yang
begitu pilu :
“Ya Allah
kepada-Mu jua aku mengadukan kelemahanku, kekuarangan penilaianku, dan
kehinaanku di hadapan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, Engkau-lah tuhan
(tempat pergantungan) bagi orang yang lemah, Engkau tuhanku, kepada siapa
hendak Engkau serahkan akan diriku? Kepada orang jauh yang bermuka masam
denganku atau adakah musuh yang akan menguasai urusanku? Aku tidak kisah
asalkan Engkau tidak murka kepadaku, sebab sungguh teramat luas pengampunan-Mu
kepadaku. Aku berlindung dengan cahaya-Mu yang menyinari segala kegelapan dan
yang kerananya urusan dunia dan akhirat menjadi baik, agar Engkau tidak
menurunkan kemarahan-Mu kepadaku atau murka kepadaku. Engkau-lah yang berhak
menegurku sehingga Engkau redha. Tidak ada daya dan kekuatan selain dengan-Mu.”
Justeru, tahun
berlakunya peristiwa Isra’ Mikraj bukan sekadar tahun kesedihan atas kewafatan
bapa saudara dan isteri baginda SAW, bahkan ditambah lagi dengan keperitan
dalam perjuangan iaitu penolakan kaum Thaif dakwah yang dibawa oleh Nabi SAW,
dengan cara menyakiti Nabi SAW.
Peristiwa Isra’
Dan Mikraj
Isra’ Mikraj
merupakan mukjizat agung yang diberikan oleh Allah SWT kepada Nabi SAW.
Peristiwa ini berlaku dalam tempoh satu malam sahaja dan ditemani oleh Jibrail
AS. Allah SWT menjalankan Nabi SAW dari tempat tidur baginda SAW iaitu di Mekah
sehingga ke Baitul Maqdis dengan menaiki buraq, kemudian bertemu dengan para
nabi yang terdahulu dan baginda mengimami solat secara berjemaah. Selepas itu
Nabi SAW diangkat ke langit sehingga ke Sidratul Muntaha untuk bertemu dengan
Allah SWT.
Peristiwa ini
berlaku dalam keadaan sedar dan Nabi SAW dibawa jalan sehingga naik ke Sidratul
Muntaha dalam keadaan berjasad dan roh, bukan hanya roh sahaja. Ini merupakan
pendapat majoriti ulama berkenaan mukjizat mengenai peristiwa Isra’ Mikraj.[1]
Peristiwa ini
disebutkan di dalam Al-Quran pada 2 tempat iaitu :
1- Dalam Surah
Al-Isra’ pada ayat yang pertama, firman Allah SWT yang bermaksud :
“Maha suci
Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil
Haram ke Masjid Al-Aqsa yang Kami berkati di sekelilingnya untuk memperlihatkan
keadaanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami.”
2- Dalam Surah
An-Najm pada ayat ke-18, firman Allah SWT yang bermaksud :
“Sesungguhnya
ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (kebesaran dan
keagungan) Tuhannya.”
Tanda-tanda
yang besar di sini ialah ketika peristiwa Isra’ Mikraj. Nabi SAW telah
diperlihatkan mengenai keadaan ahli-ahli syurga dan neraka. Dan Nabi SAW telah
bertemu dengan Allah SWT.
Antara seksaan
yang perlihatkan kepada baginda SAW yang menimpa ke atas ahli-ahli neraka ialah
:
1- Balasan
mengumpat. Nabi SAW melihat mereka yang melakukan dosa mengumpat di dalam
neraka memakan bangkai-bangkai.[2]
2- Balasan
memakan harta anak yatim secara zalim dan batil. Mereka dikenakan seksaan
dengan memakan bara-bara api sehinggalah terkeluar semula bara api tersebut
dari dubur mereka, dan mereka akan mengulanginya semula, sehinggalah tamat
tempoh seksaan mereka atas dosa memakan harta anak yatim secara zalim.[3]
3- Dosa orang
yang memakan riba’. Perut mereka dipenuhi dengan ular-ular yang hidup yang
keluar masuk dari perut mereka.[4]
Dan juga
dosa-dosa lain seperti zina, orang yang tidak mahu menunaikan zakat, orang yang
melakukan fitnah dan tidak melaksanakan amanah dengan baik. Selain itu Nabi SAW
juga diperlihatkan dengan ganjaran bagi mereka yang berjihad di jalan Allah
iaitu baginda SAW melihat sekumpulan manusia yang menanam tanaman kemudian
menuai dan mendapatkan hasil pada kemudian hari. Jibrail berkata :
“Mereka itulah
orang yang berjihad di jalan Allah, digandakan bagi mereka pahala sebanyak 700
kali ganda.”[5]
Baitul Maqdis
Diberkati
Keterikan Isra’
Mikraj dengan Baitul Maqdis menunjukkan bahawa petanda bagi kepentingan Baitul
Maqdis ke atas umat Islam. Bahkan dalam Surah Al-Isra’ pada ayat yang pertama
Allah SWT menyebut bahawa Baitul Maqdis merupakan tempat yang diberkati oleh
Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Maha suci
Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil
Haram ke Masjid Al-Aqsa yang Kami berkati di sekelilingnya untuk memperlihatkan
keadaanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami.”
Bahkan Baitul
Maqdis menjadi tempat perhimpunan bagi para nabi di malam hari dan menyaksikan
bahawa pengiktirafan ke atas Nabi SAW sebagai penghulu segala nabi dengan
menjadi imam solat bagi para nabi. Justeru, ia memang tempat yang diberkati
dengan mukjizat Isra’ Mikraj apabila tempat perhentian Nabi SAW sebelum
dinaikkan ke langit dan juga tempat perhimpunan para nabi sejak terdahulu.
Justeru,
situasi pada hari ini juga menunjukkan bahawa betapa penting dan bernilainya
Baitul Maqdis dan Saidina Umar di zaman pemerintahannya menjadi orang yang
pertama membebaskan Baitul Maqdis daripada jajahan Rom. Kemudian apabila Baitul
Maqdis dijajah kembali oleh pihak Salib, maka Panglima Solahuddin Al-Ayubi
menjadi orang yang kedua yang membebaskan Baitul Maqdis. Dan konflik pada hari
ini dan tekanan yang diterima oleh rakyat Palestin yang ditindas, siapakah yang
akan menjadi panglima dalam membebaskannya untuk kali yang ke-3? Maka inilah
antara keberkatan yang diberikan oleh Allah iaitu dengan sentiasa mengalirnya
darah syuhada di Palestin dalam jihad membebaskan Baitul Maqdis dari tangan
penjajah. Benar sabda Nabi SAW yang bermaksud :
“Akan ada
sentiasa satu kelompok daripada umatku yang akan memperjuangkan kebenaran,
mereka tidak akan mampu disekat atau dihalang oleh orang yang membenci mereka
dan kelompok tadi akan terus berjuang sehinggalah Allah menurunkan
urusan-Nya.”[6]
Di dalam satu
riawayat yang lain : “Di Baitul Maqdis dan sekitar Baitul Maqdis”[7]
Nilai Baitul
Maqdis Terhadap Umat Islam
Dr Yusuf
Al-Qardhawi menyenaraikan 5 nilai Baitul Maqdis terhadap umat Islam, iaitu :
1- Kiblat yang
pertama sebelum ditukarkan kepada Kaabah menjadi kiblat bagi umat Islam
berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah pada ayat ke-150.
2- Tempat
berlaku peristiwa Isra’ Mikraj, serta dinyatakan bahawa Allah memberkati Baitul
Maqdis dan di sekelilingnya, berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah
Al-Isra’ pada ayat pertama.
3- Antara 3
masjid yang mempunyai kelebihan yang besar. Nabi SAW menyebutkan di dalam hadis
yang bermaksud :
“Janganlah kamu
selalu pergi melancong melainkan pada 3 tempat untuk kamu ziarah iaitu Masjidil
Haram, Masjid Al-Aqsa dan masjidku ini (Masjid An-Nabawi)”[8]
4- Tanah bagi
para nabi. Kisah para Nabi yang pergi ke Palestin (Baitul Maqdis di dalam
Palestin), seperti Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan pengikutnya apabila diselamatkan
daripada Firaun dan tenteranya, dan Nabi Sulaiman. Kesemua kisah yang
dipaparkan dalam Al-Quran menyebut mengenai tanah yang diberkati yang merujuk
kepada Palestin. Rujuk Surah Al-Anbiya’ pada ayat ke-71dan 81, Surah Al-A’raf
pada ayat ke-137 dan Surah Saba’ pada ayat ke-18.
5- Tanah jihad.
Hal ini berdasarkan kepada Sabda Nabi SAW yang bermaksud :
“Akan ada
sentiasa satu kelompok daripada umatku yang akan memperjuangkan kebenaran,
mereka tidak akan mampu disekat atau dihalang oleh orang yang membenci mereka
dan kelompok tadi akan terus berjuang sehinggalah Allah menurunkan
urusan-Nya.”[9]
Di dalam satu
riwayat yang lain : “Di Baitul Maqdis dan sekitar Baitul Maqdis”[10]
Perjuangan ke
Baitul Maqdis Masih Belum Berakhir
Hari ini umat
Islam masih lagi menanti panglima sebagaimana Umar Al-Khattab dan Solahuddin
Al-Ayubi yang berjaya membebaskan Baitul Maqdis dari jajahan musuh. Selepas
mereka, siapakah yang akan muncul bagi membebaskannya buat kali ke-3?
Perjuangan masih berterusan sehingga hari kiamat sebagaimana janji Nabi SAW
dalam hadis baginda SAW.
Justeru dalam
memperingati Isra’ Mikraj ini, kita dapat simpulkan beberapa perkara yang boleh
diambil agar kita meneruskan perjuangan Islam terutama terhadap kewajipan
membebaskan Baitul Maqdis ialah :
1- Mehnah dan
tribulasi dalam perjuangan Islam merupakan asam garam dalam dunia perjuangan.
Nabi SAW juga diuji bahkan lebih berat daripada kita. Maka tidak perlu bersedih
dengan mehnah dan tribulasi, apa yang pasti kita merupakan makhluk yang mulia
di sisi Allah sekira kita beriman walau dicerca dan dicaci. Firman Allah SWT
dalam Surah Ali Imran : 139 yang bermaksud :
“Jangan kamu
berasa hina dan sedih, kamu lebih tinggi (mulia) sekiranya kamu benar-benar beriman.”
2- Perjuangan
memerlukan pengorbanan dan semangat juang yang tinggi. Seruan Islam tidak
menjanjikan kemewahan dan mempunyai tempoh yang diketahui. Halangan dan
tentangan manusia terhadap seruan Islam merupakan suatu kepastian, kerana
mereka masih belum mengetahui. Namun perjuangan tidak boleh dihentikan. Firman
Allah SWT dalam Surah At-Taubah pada ayat ke-42 :
“Kalau yang
kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanan
yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, akan tetapi ia tempoh
yang berpanjangan dan pasti menerima kesusahan.”
3- Allah SWT
tempat pergantungan kita dalam perjuangan. Doa merupakan senjata umat Islam.
Nabi SAW berdoa dengan sayu ketika pulang dari Thaif. Inilah perbezaan
perjuangan Islam dengan perjuangan taghut. Firman Allah SWT dalam Surah
An-Nisa’ pada ayat ke-104 :
“Sekiranya kamu
merasa sakit sesungguhnya pihak musuh juga merasai kesakitan sebagaimana kamu
merasai sakit, dan kamu mengharapkan Allah sedangkan mereka tidak
mengharapkan.”
4- Kita
merupakan rantai dalam perjuangan yang membawa perjuangan Islam yang diwarisi
daripada pejuang-pejuang terdahulu. Pejuang dahulu juga telah merasai keperitan
dan telah berkorban demi perjuangan yang suci ini. Begitulah apabila Nabi SAW
dalam tahun kesedihan maka Allah mempertemukan baginda SAW dengan para nabi
yang lain agar baginda SAW tidak merasai keperitan baginda SAW bukan hanya
baginda SAW yang merasai namun ia juga dirasai oleh para nabi yang terdahulu
dalam menegakkan Islam. Firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab pada ayat ke-23:
“Di antara
orang yang beriman tersebut ada orang yang telah menepati apa yang mereka telah
janjikan kepada Allah, maka di antara ada yang telah gugur. Dan di antara
mereka ada yang masih menanti (syahid) dan mereka tidak mengubah (janji-Nya
untuk berjuang di jalan Allah).”
6- Perjuangan
tidak pernah berhenti dan tamat. Pergolakan yang berlaku di dunia yang
menyaksikan umat Islam ditindas merupakan satu kewajipan yang mesti
dilaksanakan bahawa perjuangan Islam tidak pernah berhenti. Islam terus
diperjuangkan sehinggalah manusia kembali kepada Allah iaitu sehingga hari
kiamat. Sabda Nabi SAW yang bermaksud :
“Akan ada
sentiasa satu kelompok daripada umatku yang akan memperjuangkan kebenaran,
mereka tidak akan mampu disekat atau dihalang oleh orang yang membenci mereka
dan kelompok tadi akan terus berjuang sehinggalah Allah menurunkan
urusan-Nya.”[11]
Wallahu a’lam…
Disediakan oleh
:
‘Izzati Farhana bt Mahadzir
Penasihat HEWI PMRAM 2012
‘Izzati Farhana bt Mahadzir
Penasihat HEWI PMRAM 2012
Rujukan :
1- As-Sirah An-Nabawiyah, oleh Dr Ali As-Solabi, cetakan Dar At-Tauzik Wa An-Nasyr
2- Fiqh As-Sirah, oleh Dr Muhamad Said Ramadhan Buthi, cetakan Dar As-Salam
3- Al-Quds Qadhiyah Kulli Muslim, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
1- As-Sirah An-Nabawiyah, oleh Dr Ali As-Solabi, cetakan Dar At-Tauzik Wa An-Nasyr
2- Fiqh As-Sirah, oleh Dr Muhamad Said Ramadhan Buthi, cetakan Dar As-Salam
3- Al-Quds Qadhiyah Kulli Muslim, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
[1] Imam Nawawi
dalam syarahnya ke atas Sahih Muslim, m/s 390 dan Ibnu Hajar dalam kitab Fathul
Bari
[2] Al-Fath Ar-Rabbani m/s 255
[3] Fathul Bari jilid 8 m/s 200
[4] Tafsir Ibnu Kathir, jilid 4 m/s 274
[5] As-Sirah An-Nabawiyah, oleh Dr Ali As-Solabi, m/s 278
[6] Bukhari dan Muslim
[7] Riwayat Abdullah bin Ahmad di dalam Musnad Ahmad
[8] Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah dan Abi Sa’id AL-Khudri
[9] Bukhari dan Muslim
[10] Riwayat Abdullah bin Ahmad di dalam Musnad Ahmad
[11] Bukhari dan Muslim
[2] Al-Fath Ar-Rabbani m/s 255
[3] Fathul Bari jilid 8 m/s 200
[4] Tafsir Ibnu Kathir, jilid 4 m/s 274
[5] As-Sirah An-Nabawiyah, oleh Dr Ali As-Solabi, m/s 278
[6] Bukhari dan Muslim
[7] Riwayat Abdullah bin Ahmad di dalam Musnad Ahmad
[8] Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah dan Abi Sa’id AL-Khudri
[9] Bukhari dan Muslim
[10] Riwayat Abdullah bin Ahmad di dalam Musnad Ahmad
[11] Bukhari dan Muslim
No comments:
Post a Comment