Sunday 15 July 2012

Kenangan Ramadhan dalam Menanti Syawal

Tak sampai seminggu lagi kita akan berpuasa. Entah mengapa setiap kali menjelang bulan Ramadhan, hati saya menjadi begitu sayu... apabila mengenangkan kenangan saat berpuasa bersama-sama keluarga tersayang sewaktu zaman sewaktu kecil dahulu. Suatu ketika dan di suatu masa.... kenangan itu takkan mungkin hilang. Akan sentiasa terpahat di dalam kotak ingatan.
Suasananya memang jauh berbeza. Semasa kecil, bersekolah rendah dan menengah, semasa menuntut di universiti, apabila dah bekerja, apatah lagi selepas berkahwin dan mempunyai anak. Di kampung dan di bandar. Suasana semasa berpuasa itu tidak akan sama... Eemm, rasanya saya tidak mahu berceloteh panjang. Biarlah ianya menjadi kenangan dan disimpan sahaja segala cerita suka duka itu. Tidak mahu mengundang rasa sebak dan syahdu lagi. Maklumlah, hati saya mudah tersentuh apabila mengenangkan itu semua, apatah lagi Mak, Abah kedua-dua datuk yang disayangi telah lama tiada, pergi mengadap Ilahi. Al-Fatihah...

Entri kali ni, bercerita tentang persiapan untuk Syawal yang akan datang... Sejak dua minggu yang lalu, suami mengajak saya membeli serba sedikit pakaian raya terutamanya untuk anakanda, Hakim. Untuk saya, telah awal-awal lagi baju kurung telah siap ditempah. Kebetulannya pula, waktu itu sibuk dengan jualan murah di gedung membeli belah. Jadi, kami mengambil kesempatan untuk itu. Tidaklah beriya-iya, sekadar ala kadar sahaja. Pada Sabtu kelmarin, kami ke PKNS, Shah Alam untuk membeli baju Melayu. Booth-booth khas untuk menjual kelengkapan pakaian raya telah pun dibuka dan memang banyak sangat pilihan. Warna dan saiz pun banyak. Alhamdulillah, orang tak ramai. Warna dan saiz baju yang sedondon pun senang nak cari. Malas nak bersesak-sesak saat-saat akhir nanti. Jadi, yang tinggalnya hanyalah kuih dan biskut raya. Tak seperti tahun lepas, tahun ini disebabkan kami akan beraya di Kelantan, saya menempah sikit je. Lagipun kebetulannya, raya tahun ni semua mak saudara akan beraya di rumah mentua masing-masing. Jadi, tak perlulah banyak sangat. Suami pun dah beri 'amaran' supaya jangan berlebihan...

Walau apapun, yang pentingnya, saya amat mengharapkan Ramadhan kali ini akan memberi sejuta makna untuk saya dan seluruh ahli keluarga. Doa sentiasa dipanjatkan agar Allah SWT menuntun hati saya, suami dan anak serta keluarga untuk lebih mendekatkan diri kepada-Nya dan mencapai keredhaan dari-Nya. Semoga dikuatkan semangat dan hati saya untuk menambah amalan ibadah pada malam hari dan Ramadhan ini juga ingin saya bertemu dengan Malam Sejuta Rahmat iaitu Malam Lailatul Qadar.. dengan izin-Nya, Ya Allah, Amin Ya Rabb... semoga Allah SWT memakbulkan doaku.

Ihsan: Google

No comments:

Post a Comment

Yuuhuuuu... ciku cak!

Assalamualaikum sayang-sayang....!!!!  Apa kabor semua? Mak aaiiii... dah nak dekat setahun baru sempat menjengah rumah. Hahahahh... Mema...